COVID-19: Lima kluster catat penambahan, Kluster Benteng LD paling tinggi

Fareez Azman
September 23, 2020 18:17 MYT
Kluster Benteng LD mencatatkan penambahan tertinggi dengan 105 kes baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 729 kes setakat ini. - Gambar fail
Lima kluster mencatatkan penambahan kes positif COVID-19 sehingga Rabu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kluster Benteng LD mencatatkan penambahan tertinggi dengan 105 kes baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 729 kes setakat ini.
KLUSTER BENTENG LD
"Di Tawau sejumlah 7,826 individu telah disaring dimana 570 dikesan positif COVID-19. 5,109 individu negatif dan 2,147 individu lagi masih menunggu keputusan.
"Di Lahad Datu, sejumlah 2,562 individu telah disaring dengan 158 kes positif, 1,490 negatif dan 914 individu masih menunggu keputusan," katanya.
Manakala di Sandakan, satu kes positif dikesan dan tiada saringan atau pertambahan kes baharu setakat ini.
KLUSTER BANGAU-BANGAU
Kluster Bangau-Bangau pula mencatatkan pertambahan lapan kes baharu menjadikan kes positif keseluruhan sebanyak 13 kes setakat ini.
Sehingga kini jelas Dr Noor Hisham, seramai 105 individu telah disaring dengan 13 kes positif dan 92 individu lagi masih menunggu keputusan.
"Daripada jumlah 13 kes positif COVID-19, 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tiga adalah warganegara Filipina," katanya.
KLUSTER LAUT
Kluster Laut pula mencatatkan lapan kes baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 12 kes setakat ini.
Sehingga jam 12.00 tengahari Rabu, sejumlah 488 individu telah disaring dengan 12 kes dikesan positif.
Manakala 345 individu negatif dan 131 individu lagi masih menunggu keputusan. Kesemua 12 kes baharu positif COVID-19 jelas Noor Hisham merupakan warganegara Filipina.
KLUSTER PULAU
Kluster Pulau pula mencatatkan penambahan dua kes baharu di Kunak dan Semporna menjadikan jumlah kes positif sebanyak 37 kes.
"Sehingga 23 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 731 individu telah disaring dalam kluster ini.
"Di Kunak, 618 individu telah disaring dengan 31 kes dikesan positif COVID-19,. 261 individu negatif dan 326 lagi masih menunggu keputusan," katanya.
Manakala di Semporna pula sejumlah 113 individu telah disaring dengan enam kes positif, 37 individu negatif dan 70 individu lagi masih menunggu keputusan.
Daripada jumlah 37 kes positif, sejumlah 33 kes adalah dalam kalangan warganegara manakala empat lagi warganegara Filipina.
KLUSTER SUNGAI
Empat kes baharu turut direkodkan dalam Kluster Sungai menjadikan jumlah kes sebanyak 87 kes setakat ini.
"Sehingga 23 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 24,870 individu telah disaring dalam kluster ini," jelas Ketua Pengarah Kesihatan.
Di Kedah, sejumlah 24,674 individu telah disaring dengan 86 kes positif COVID-19. 24,469 lagi individu negatif dan 119 lagi masih menunggu keputusan.
Di Pulau Pinang pula, 142 individu telah disaring dan disahkan negatif. Manakala di Perlis pula 54 individu telah disaring dengan satu kes positif, 52 individu negatif dan satu individu masih menunggu keputusan.
"Kesemua 87 kes positif dalam kluster ini merupakan warganegara Malaysia. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," kata Dr Noor Hisham.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Filipina #Kedah #kesihatan #Kluster Bangau Bangau #Kluster Benteng LD #Kluster Laut #Kluster Pulau #Kluster Sungai #Lahad Datu #Perlis #positif #Sandakan #Semporna #Tawau