Bilangan kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan di Malaysia kembali kepada satu digit iaitu sebanyak lima kes, di mana kesemuanya adalah kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media mengesahkan, setakat jam 12 tengah Khamis, tiada kes penularan tempatan dicatatkan.

Menurutnya, kes import yang direkodkan melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

Jelas Dr Noor Hisham, kes tersebut adalah dari Jepun (empat kes di Sarawak) dan satu dari Bangladesh yang melibatkan kes di Selangor.

BACA: Tiada kes penularan tempatan: Ini 5 tumpuan kenyataan media COVID-19 hari ini

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat tujuh kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,932 kes.

“Sementara itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes.

“KKM ingin menasihatkan orang ramai agar kekal waspada dan terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

"Jadikanlah nasihat-nasihat itu satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian,” ujarnya.