COVID-19: Lima kes baharu, empat pulih
Harits Asyraf Hasnan
Julai 5, 2020 17:45 MYT
Julai 5, 2020 17:45 MYT
Sejumlah lima kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan tiga kes import dan dua jangkitan tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, tiga kes import jangkitan di luar negara itu melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.
"Kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia iaitu kes-kes saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan di sebuah pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.
"Tiada penularan dalam negara di kalangan warga asing dilaporkan pada hari ini," katanya menerusi kenyataan media harian perkembangan terkini COVID-19.
Beliau turut memaklumkan terdapat empat kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj adalah sebanyak 8,465 kes.
Pada masa sama, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah kematian kekal sebanyak 121 kes.
#COVID19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Jangkitan tempatan
#kes jangkitan import
#kesihatan
#koronavirus
#perubatan