COVID-19 lenyapkan impian Ramadan dan Syawal Adli
Sahlizah Mohamed
April 27, 2020 16:35 MYT
April 27, 2020 16:35 MYT
Hati siapa yang tidak gundah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga di luar negara lebih-lebih lagi tatkala dunia berdepan pandemik COVID-19 sejak awal tahun ini.
Bimbang dan rindu bersilih berganti dengan hanya doa sahaja mampu dikirimkan demi kesejahteraan dan keselamatan insan tersayang.
Rakyat Malaysia yang bekerja sebagai juruteknik simulator di sebuah syarikat penyelenggaran pesawat Al Ain, Abu Dhabi, Adli Ghazali mengakui sukar melalui rutin hariannya dalam keadaan begini.
“Lebih membuatkan saya terkilan, saya sepatutnya membawa isteri dan anak-anak ke sini sewaktu pulang ke Malaysia pada Mac lalu, namun semuanya terpaksa dibatalkan akibat pandemik ini.
“Tambah menyedihkan apabila saya terpaksa pulang awal ke Abu Dhabi pada hari Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semua perancangan kami sekeluarga tergendala dan yang paling membuatkan saya sedih ialah tidak sempat meraikan sambutan ulang tahun pertama anak kedua kami sehari selepas saya kembali ke Abu Dhabi,” katanya dalam kiriman Whatsapp kepada Astro Awani.
Bercerita lanjut, kepulangannya ke Bangi, Selangor pada Mac lalu adalah untuk membawa isteri, Nadia Daud dan dua anak mereka, Adam Thaqif, 5 dan Amal Sofea, 13 bulan ke Abu Dhabi bersamanya.
Kembali ke Abu Dhabi seorang diri ternyata mengecewakan Adli, namun mereka tidak mempunyai pilihan selain daripada mengikut saranan dan arahan kerajaan demi membendung penularan virus COVID-19.
“Semestinya sambutan Ramadan tahun ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sepatutnya ada bersama keluarga, tetapi itu tidak berlaku.
“Kehidupan di sini juga tidak banyak berbeza, cuma taman-taman dan pusat beli belah sahaja yang diarahkan ditutup. Pasar raya masih dibuka seperti biasa dan pemakaian topeng muka diwajibkan. Sebelum masuk, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman akan diberi," katanya.
Berkelana ke bumi Al Ain sejak Ogos tahun lalu, anak kelahiran Sepang, Selangor itu tidak merancang untuk menetap lama di sana.
“Apabila berjauhan ini, perkara yang paling merugikan apabila kita tidak dapat melihat anak-anak membesar di depan mata.
“Saya tidak dapat melihat saat pertama anak kedua saya mula bertatih berjalan walaupun kami berkomunikasi setiap hari menerusi panggilan telefon dan video. Pengalamannya tidak sama seperti melihat sendiri di depan mata,” tambahnya.
Dalam situasi dunia begini, Adli mungkin terpaksa melalui kekecewaan buat kali kedua apabila perancangan untuk pulang ke Malaysia seminggu sebelum Aidilfitri masih samar-samar disebabkan pelbagai sekatan pergerakan.
#Abu Dhabi
#Adli Ghazali
#Aidilfitri
#Al Ain
#Amal Sofea
#COVID19
#juruteknik simulator
#Malaysia
#Ramadan
#Sepang