COVID-19: Lebih 70 peratus rakyat Malaysia sedia terima vaksin - Kajian

Nickyson Nyambar
Februari 10, 2021 14:02 MYT
Responden kajian ditanya, sekiranya vaksin COVID-19 telah tersedia dan ditawarkan kepada mereka, adakah mereka sanggup menerimanya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus rakyat Malaysia menyatakan kesediaan mereka untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Berdasarkan data kajian 'COVID-19 World Symptom Survey' yang dikendali Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat, kadar responden dari Malaysia yang sanggup divaksinasi adalah 74.39 peratus.
Perolehan itu dicatatkan setakat 6 Februari lalu.
Daripada keseluruhan 40.374 juta responden seluruh dunia yang mengikuti tinjauan ini, lebih 300,000 adalah rakyat Malaysia.
Dalam kajian itu, pengguna laman sosial berkenaan dijemput secara harian melaporkan simptom COVID-19 serta isu terkini yang berkaitan, seperti penjarakan fizikal, kesihatan mental serta kekangan kewangan, yang mendepani penduduk dunia ketika pandemik ini.
Responden turut ditanya sekiranya vaksin COVID-19 telah tersedia dan ditawarkan kepada mereka, adakah mereka sanggup menerimanya.
Data yang diterima kemudiannya dikongsi bersama institut akademik terkemuka di Amerika Syarikat itu menerusi aplikasi pengaturcaraan antara muka (API).
Facebook melaporkan, secara harian, lebih setengah juta respon diterima.
Perkongsian data seperti itu terbukti membantu para pengkaji menyediakan data dan maklumat yang tepat kepada pengguna laman sosial berkenaan.
Kesediaan orang ramai untuk mendapatan vaksin COVID-19 sangat berbeza di seluruh dunia berdasarkan dapatan daripada 40 juta responden di 200 buah negara sejak April 2020.
Tinjauan ini antara yang terbesar diadakan untuk membantu penyelidik kesihatan memantau dan meramalkan penularan COVID-19.
Sebagai contoh, negara jiran Indonesia merekodkan 74.16 peratus, Filipina 60.29 peratus, Singapura 81.80 peratus, Vietnam 86.26 peratus dan Thailand 75.23 peratus.
#Facebook #survey #Kajian #vaksin COVID-19 #University of Maryland #rakyat Malaysia
;