COVID-19: Lebih 2,000 penduduk di Pasai Siong jalani sekatan pergerakan

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 10, 2021 18:55 MYT
KUCHING: Lebih 2,000 penduduk di 19 buah rumah panjang di Sibu menjalani sekatan pergerakan ekoran penularan wabak COVID-19 di daerah itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, kesemua penduduk sedang menjalani proses saringan COVID-19 di rumah panjang masing-masing.
"Saya difahamkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, telah mengadakan ujian saringan kepada semua penduduk yang menghadiri majlis pengebumian di Rumah Panjang Langi dan 37 orang daripadanya adalah positif COVID-19.
"Saya berharap penduduk yang tidak sihat segera berjumpa dengan pihak polis dan kakitangan jabatan kesihatan yang untuk kawalan yang lebih pantas," katanya kepada Astro Awani ketika ditemui pada Ahad.
Tambah Christopher lagi, selain penduduk kawasan Pasai Siong, terdapat juga penduduk luar yang bekerja di kebun dan ladang kepala sawit di kawasan itu terkandas.
Malah, beliau difahamkan, ada di antara penduduk luar itu terpaksa tidur di dalam kereta atau rumah kebun mereka yang tidak mempunyai kemudahan asas yang baik.
"Ada antara mereka terpaksa tidur di dalam kereta dan di rumah kebun tanpa kemudahan yang baik selama 14 hari.
"Namun, saya dan beberapa wakil rakyat di sini akan cuba membantu jika mereka mengalami kesulitan terutama bantuan makanan," tambahnya.
#sekatan pergerakan #Pasai Siong #COVID-19 #ADUN Tamin #Christopher Gira Sambang #Sibu #Sarawak
;