COVID-19: Lawatan duta asing ke Labuan ditangguhkan
Bernama
Mac 9, 2020 15:29 MYT
Mac 9, 2020 15:29 MYT
Kementerian Luar melalui Perbadanan Labuan memaklumkan program lawatan Perwakilan Duta Asing ke Labuan pada Jumaat hingga Ahad ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Keputusan itu diambil selepas Perbadanan Labuan mengambil maklum isu semasa berkaitan perkembangan terkini jangkitan COVID-19 yang semakin menular di seluruh dunia, khususnya di negara ini.
Program Lawatan Perwakilan Duta Asing ke Labuan melibatkan seramai 30 duta yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan ditemani pasangan masing-masing, serta diiringi pegawai dari Kementerian Luar.
Ia merupakan program tahunan Kementerian Luar membabitkan duta asing dari 30 negara itu dalam usaha memperkenalkan tempat lain di negara ini selain Kuala Lumpur.
Bagi peringkat Labuan, perancangan bagi menyambut lawatan perwakilan duta asing itu melibatkan beberapa agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain individu berkaitan.
Kementerian Luar dan Perbadanan Labuan turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan semua pihak dalam menjayakan persiapan dan perancangan program berkenaan. - BERNAMA
#COVID-19
#Kementerian Luar
#Perbadanan Labuan
#Perwakilan Duta Asing ke Labuan
#program tahunan Kementerian Luar