COVID-19: Latihan di Pulapol dihentikan sementara waktu - Bukit Aman
Astro Awani
Februari 13, 2021 13:43 MYT
Februari 13, 2021 13:43 MYT
KUALA LUMPUR: Sebarang jenis latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara diarah dihentikan buat sementara waktu bagi membendung pandemik COVID-19 di pusat itu.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, meskipun sebilangan besar pelatih yang dilaporkan dijangkiti sebelum ini sudah pun sembuh, namun pemantauan berterusan masih diperlukan.
Pihaknya juga tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar dan masuk ke pusat latihan berkenaan selain menghentikan semua aktiviti dan latihan sehingga situasi pulih sepenuhnya.
“Pelatih Pulapol Kuala Lumpur yang dikuarantin telah semakin berkurangan dimana ramai yang telah pun sembuh. Walaupun demikian, kita belum lagi melaksanakan latihan sepenuhnya lagi.
“Kita menunggu semua kembali pulih dan dalam masa yang sama kita telah pun bekerjasama dengan KKM dan kita telah membuat sanitasi di Pulapol Kuala Lumpur dan di Segamat,” katanya.
Beliau ditemui sewaktu Program Jualan Mega Frontliner untuk keluarga anggota PDRM di kawasan perumahan PDRM Setiawangsa di sini anjuran Pukat Care siang tadi.
Beliau turut memuji usaha murni Pukat Care yang membantu keluarga PDRM dengan menjual hasil laut di bawah harga borong.
2 Februari lepas, seramai 382 pelatih Pulapol Jalan Sultan Yahya Petra di ibu negara disahkan positif COVID-19.
Mereka yang dijangkiti termasuk 46 kakitangan yang bertugas di Pulapol.
Susulan itu Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan pemantauan situasi semasa di pusat latihan berkenaan.
Sementara itu Ramli berkata, pandemik COVID-19 telah menyebabkan pengambilan anggota polis baharu dikurangkan sebanyak hampir separuh tahun lepas.
Ia bagi memastikan segala SOP PKP dapat dipatuhi di semua fasiliti Pusat Latihan Polis atau Pulapol.
#Bukit Aman
#polis
#COVID-19
#pandemik
#PDRM
#ujian saringan
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman
#Ramli Din