COVID-19: Larangan rentas negeri kekal dilaksana

Hasimi Muhamad
Februari 10, 2021 14:34 MYT
Kementerian akan memohon supaya ia dikekalkan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan selepas 18 Februari ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Larangan rentas negeri tetap akan dilaksanakan meskipun tiada Kluster Rentas Negeri direkodkan, setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kementerian akan memohon supaya ia dikekalkan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan selepas 18 Februari ini.
“Kita mohon rentas negeri dikekalkan. Sehingga sekarang keupayaan untuk melandaikan lekuk sangat penting.
“Kita telah nampak kes-kes telah menurun dan nilai kebolehjangkitan telah berada di bawah paras 1.0.
“Sebelum ini nilai kebolehjangkitan berada di paras melebihi 1.0,” katanya pada Sesi Bersama Media di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai usaha untuk mengelakkan berlaku Kluster Rentas Negeri ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina pula, Dr Adham berkata kerajaan akan menggunakan Akta 342 dan 446 bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
"Untuk berhadapan dengan satu-satu perayaan kita telah bersedia bukan sahaja melalui Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi keseluruhan pendekatan kerajaan. Di mana Akta 342 dan Akta 446 berjalan terus untuk memastikan tiada kesalahan ataupun penyalahan strategi atau SOP.
"Untuk itu, pada perayaan Tahun Baru Cina, KKM terus akan terus membuat ujian kepada kelompok-kelompok atau kawasan-kawasan yang memerlukan ujian COVID-19.
"Kita akan terus cepat mengesan kontak, asingkan secepat mungkin dan merawat (pesakit)," jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr Adham berkata lima strategi digunakan untuk memastikan usaha berterusan menangani COVID-19.
Strategi tersebut termasuk memutuskan rantaian transmisi; kurangkan mobiliti dan kematian; strategi memperkukuhkan pemantauan dan diagnostik; mencapai komuniti kelompok serta meningkatkan kesedaran dan pembudayaan norma baharu.
#COVID-19 #Dr Adham Baba #perintah kawalan pergerakan 2 0 #PKP 2 0 #kesihatan #rentas negeri
;