COVID-19: Langkah penangguhan, penstrukturan semula pinjaman bernilai RM100 bilion - Muhyiddin
Astro Awani
Mac 25, 2020 09:30 MYT
Mac 25, 2020 09:30 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan langkah penangguhan bayaran serta penstrukturan semula pinjaman bank membabitkan nilai sekurang-kurangnya RM100 bilion dalam usaha membantu rakyat menghadapi kesan COVID-19 di negara ini.
Beliau berkata, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bermula 1 April.
Katanya, selain itu, pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.
Jelasnya, fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April sehingga 31 Disember 2020.
"Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.
"Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Pengumuman Muhyiddin itu mengesahkan laporan media sebelum ini yang memetik dokumen diserahkan Bank Negara (BNM) kepada bank-bank di Malaysia, sebelum ini, bahawa pelanggan akan dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka untuk enam bulan.
Laporan sebelum ini juga menyebut penangguhan ini bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata langkah itu amat bermakna dan mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan negara.
"Seperti yang saya umumkan tempoh hari selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat dan ekonomi negara.
"Saya telah pun meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang ditawarkan," katanya.
Ujarnya, kerajaan pada hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat.
"Saya sedar bahawa impak wabak COVID-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.
"Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.
"Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun PKS yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini," katanya