COVID-19: Lakukan ujian saringan tiga hari sebelum keluar dari Sabah - Masidi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 24, 2020 21:09 MYT
Bermula 25 November pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain di Malaysia. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kerajaan pada Selasa memutuskan ujian pengesanan COVID-19 dibuat tiga hari sebelum berlepas keluar dari Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bermula 25 November 2020 pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain di Malaysia.
Katanya, jika individu terbabit didapati positif ujian pengesanan COVID-19 atau bergejala, mereka tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
"Bagi mereka yang positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan.
"Manakala, bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Tambahnya bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian saringan pengesanan COVID-19 dan diwajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera setibanya di pintu masuk negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Pada Selasa jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 232 kes dengan tiga kematian direkodkan iaitu dua kes di Lahad Datu dan satu di Tawau.
Daripada 232 kes tersebut sebanyak 96 kes adalah dari Kota Kinabalu, Lahad Datu, Beluran dan Kota Belud yang berpunca dari saringan kontak rapat manakala selebihnya iaitu 136 kes adalah dari lain-lain kategori.
#COVID-19 #Masidi Manjun #MySejahtera #Semenanjung Malaysia #Sarawak #Lahad Datu #Tawau #Kota Beluran #Kota Kinabalu #rawatan #isolasi #pemantauan
;