COVID-19: Lakukan saringan, vaksinasi serentak untuk pekerja industri - Pakar
Eton Khir
Julai 14, 2021 04:55 MYT
Julai 14, 2021 04:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kaedah gerak kerja saringan dan pemberian vaksin secara serentak khususnya kepada pekerja industri wajar dilaksanakan di kala negara mencatat kadar peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang mendadak kebelakangan ini.
Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata inisiatif ini akan dapat mengurangkan jangkitan kes melibatkan pekerja industri yang dilihat semakin tidak terkawal dan membimbangkan.
"Satu cadangan yang baik sebab bila kita dapati seseorang itu sudah menjalankan saringan dan negatif maka kita berilah dia vaksin.
"Apa yang yang kita nak persusahkan, jangan kita buat proses vaksin ini begitu eksklusif dan begitu susah dengan pelbagai kerenah.
"Perlu mengisi borang itu, borang ini. Ini kerana, bagi situasi sekarang, seharusnya vaksinasi dipermudahkan dan disegerakan," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah beliau, pemberian vaksin tidak semestinya perlu dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dan pihak industri boleh melaksanakannya di tempat kerja atau kilang itu sendiri.
Beliau turut mencadangkan agar sektor industri perkilangan perlu ditutup untuk mengawal pandemik pada ketika ini.
"Kita tutup semua kilang industri atau sektor ekonomi yang berpotensi menyumbang kepada penyebaran COVID-19, terutamanya sektor ekonomi yang melibatkan pekerja asing.
"Ini kerana kebanyakan industri yang melibatkan pekerja asing ini merupakan salah satu punca varian baharu yang turut memberi impak yang sangat tinggi kepada peningkatan kes. Laksanakan lockdown sepenuhnya," katanya.
Shamsul Bahari dalam pada itu juga berharap kerajaan dapat merangka serta melaksanakan strategi yang bijak serta merangkumi semua aspek bagi mengurangkan jangkitan pandemik dan varian baharu yang sedang merebak di Malaysia.
#pekerja asing
#vaksin
#varian baharu
#PPV
#tutup kilang
#Pusat Pemberian Vaksin
#pandemik
#sektor ekonomi
#COVID-19