COVID-19: Kumpulan misi kemanusiaan Malaysia terkandas di Chad mohon bantuan pulang

Hasimi Muhamad
April 12, 2020 21:02 MYT
Bercerita lebih lanjut, Zulkifli berkata ketika ini mereka menumpang di sebuah rumah di atas belas ihsan seorang individu. - Gambar Facebook
HASRAT sekumpulan rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air selepas selesai menjalankan misi kemanusiaan di Chad, Afrika Tengah tertangguh susulan penutupan lapangan terbang di negara itu akibat pandemik COVID-19.
Mereka yang terkandas terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita dari Yayasan Amal Malaysia tiba di N'Djamena pada 11 Mac lalu dan dijadualkan pulang pada 19 Mac.
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Kedah, Zulkifli Baharom berkata keadaan semakin merunsingkan visa mereka hampir tamat tempoh, selain bekalan ubat-ubatan bagi penyakit jantung yang dihidapinya kini hampir kehabisan.
"Mulanya (kerajaan Chad) nak tutup (lapangan terbang) dua minggu sahaja selepas itu mereka sambung lagi sampai 25 April.
"Jadi, kami di sini memang sudah tidak tahu nak buat apa dah, tambah pula dalam keadaan cuaca panas dan saya pula ada penyakit jantung dan darah tinggi. Jadi, ubat pun dah nak habis," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Bercerita lebih lanjut, Zulkifli berkata ketika ini mereka menumpang di sebuah rumah di atas belas ihsan seorang individu.
Jauh di sudut hati, mereka begitu merindui ahli keluarga dan anak-anak yang berada jauh di Malaysia.
Jelasnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nigeria juga setakat ini masih belum memberi sebarang kata putus berhubung perkata itu.
Sehubungan itu, dia berharap agar kerajaan Chad dan Malaysia dapat membantu mempercepatkan proses untuk membolehkan mereka segera pulang.
"Itulah yang kita harapkan kalau pihak kerajaan boleh untuk sediakan pesawat untuk datang ambil (rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa lokasi di Nigeria).
"Memang sulit sikit sebab terpaksa ke Nigeria - Chad - Sudan dan ke Habsyah (Afrika Timur) tetapi buat masa sekarang itu jalan yang ada," katanya.
Setakat ini, Chad telah merekodkan 11 kes positif COVID-19.
#Astro Awani #Chad Afrika Tengah #COVID-19 #kerajaan #Malaysia #Nigeria #rakyat Malaysia #Yayasan Amal Malaysia
;