COVID-19: Kuarantin berjaya, pasukan bertugas patuh prosedur klinikal

Bernama
Februari 18, 2020 07:55 MYT
Dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia ketika melintasi bilik-bilik yang didiami PUS ketika tinjauan khas di AKEPT yang menjadi Pusat Pemantauan, di Nilai, 18 Feb, 2020. --fotoBERNAMA
Berdepan evakuasi perubatan dan pemantauan besar-besaran seumpamanya dalam sejarah Malaysia, tidak menghalang kakitangan perubatan dan kakitangan lainnya untuk memberikan khidmat secara cermat dan teliti dalam penjagaan 107 rakyat Malaysia dan beberapa waris bukan warga negara sepanjang tempoh 14 hari kuaratin selepas mereka diterbangkan dari Wuhan, China yang dilanda wabak COVID-19.
Kesemua mereka telahpun diberikan lampu hijau untuk meninggalkan Pusat Pemantauan Dalaman (HSC) di Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan selepas didapati bebas daripada penyakit itu. Seorang daripada mereka bagaimanapun dirawat di hospital kerana sakit bukan berkaitan COVID-19.
Sebaik memulakan tugas di AKEPT mulai 4 Feb hingga 18 Feb, 158 petugas terdiri 30 pegawai dan pembantu pegawai perubatan, 25 kakitangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 88 pegawai dan kakitangan Polis Diraja Malaysia dan 15 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdepan tugas berat apabila mereka juga perlu dikuaratin.
Bernama yang berpeluang membuat liputan penjagaan 107 orang di bawah pengawasan (PUS) di kawasan tertutup AKEPT mendapati tugasan dilaksanakan mengikut prosedur klinikal dan kawalan keselamatan yang cukup ketat.
Pegawai penyelaras pasukan KKM di HSC, Dr Nur Adibah Shaharul berkata setiap kakitangan yang mempunyai kontak dengan mereka yang di bawah pemantauan perlu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) setiap kali memasuki zon merah iaitu kawasan yang mengasingkan PUS dengan orang awam.
"Ini untuk mencegah pencemaran silang," katanya kepada Bernama sambil menjelaskan kementerian hanya mengaktifkan pasukan perubatan dan kesihatan semasa bencana, namun kali ini, bahagian kawalan infeksi turut turun padang.
Dr Nur Adibah turut bercakap mengenai ketelitian dalam prosedur berkaitan "gowning" dan "degowning" setiap kakitangan yang memasuki zon merah dan perlunya mereka mandi dan melupuskan scrub pembedahan dengan betul.
"KKM akan memeriksa setiap petugas yang memakai PPE mengikut prosedur klinikal sebelum memasuki red zone supaya mereka (petugas) berasa lebih selamat ketika berada dalam kawasan larangan," katanya sambil menambah KKM telah bersiap siaga menghadapi bencana wabak sejak berlakunya jangkitan MERS-COV.
Pada 4 Feb, kerajaan membawa pulang 107 rakyat Malaysia dan pasangan serta anak mereka bukan warga negara Malaysia yang terkandas di Wuhan selepas kerajaan China menyekat pergerakan keluar-masuk di bandar itu sejak 23 Jan akibat wabak COVID-19.
Ditanya mengenai jadual harian pasukan KKM, Dr Nur Adibah berkata pemeriksaan kesihatan terhadap semua PUS dilakukan pada pukul 9.00 pagi untuk memeriksa suhu badan dan menentukan sama ada PUS menunjukkan gejala seperti batuk dan selesema.
"Pasukan perubatan memeriksa tahap kesihatan mereka pada jarak yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter," katanya yang menjelaskan prosedur ketat ini turut dipatuhi ketika makanan diagihkan.
"PUS mesti memakai penutup mulut dan hidung ketika bersemuka dengan para petugas dan komunikasi adalah terhad. Sekiranya, ada perkara lain yang hendak dibincangkan, kita akan berkomunikasi melalui media sosial seperti aplikasi WeChat," jelasnya.
Dr Nur Adibah berkata pasukannya turut disinfeksi zon merah sehari sekali iaitu selepas sarapan pagi diedarkan kakitangan JKM dengan bantuan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), manakala kutipan pakaian dan sisa buangan dilakukan dua kali sehari.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku penyelaras keseluruhan di HSC, mengamalkan prinsip 'meminimumkan pendedahan dan memaksimumkan hasil', kata Ketua Penolong Pengarah Seksyen Mitigasi NADMA, Che Siti Noor Koh Poh Lee @ Che Mamat.
Katanya, walaupun semua PUS diuji negatif COVID-19, langkah berjaga-jaga tetap diambil pada setiap masa, dengan hanya enam kakitangan dibenarkan memasuki zon merah pada satu-satu masa untuk menjalankan tugas mereka seperti menghantar makanan empat kali sehari dan mengendalikan pemeriksaan kesihatan.
"...Kalau PUS memerlukan apa-apa atau ada sebarang aduan dikemukakan kita akan contact mereka (petugas) yang dah berada di dalam (zon merah) untuk membantu PUS itu. Contohnya ketika penghantaran barang peribadi daripada keluarga PUS, kita akan berikan kepada mereka ketika JKM dan SMART mengedarkan makanan...jadi, kita maksimumkan penggunaan petugas," tambahnya.
-- BERNAMA
#AKEPT #China #COVID-19 #isolasi #jkm #kawalan keselamatan #keselamatan #kesihatan #KKM #koronavirus #kuarantin #mengikut prosedur #NADMA #Negeri Sembilan #nilai #orang di bawah pengawasan #pemantauan #perubatan #Polis Diraja Malaysia #rakyat Malaysia
;