COVID-19: KPT saran proses pendaftaran pelajar dari zon merah ke IPT diadakan dalam talian

Fareez Azman
September 27, 2020 12:35 MYT
Noraini berkata proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan terbabit yang bermula Oktober itu boleh diteruskan menerusi dalam talian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Susulan peningkatan kes COVID-19 di beberapa daerah di negara ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan agar semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan urusan pendaftaran secara bersemuka pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah.
Menurut Menterinya, Datuk Noraini Ahmad, proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan terbabit yang bermula Oktober itu bagaimanapun boleh diteruskan menerusi dalam talian.
"Proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit bolehlah dilakukan secara dalam talian. Para pelajar boleh pulang ke kampus masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada setelah keadaan kembali pulih.
"Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukan ke IPT kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing. Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
KPT ujarnya sekali lagi menegaskan bahawa semua IPT telah diarah untuk memastikan pelaksanaan aktiviti akademik di kampus mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
Pelajar juga dinasihatkan agar terus mengambil langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
#SOP #pengajaran dan pembelajaran #Institusi Pengajian Tinggi #pelajar #IPT #Menteri Pengajian Tinggi #Datuk Noraini Ahmad #keselamatan #pandemik #COVID-19 #zon merah #pendaftaran pelajar
;