COVID-19: KMC kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negeri

Bernama
September 9, 2020 04:20 MYT
Susulan Kluster Sungai, KMC melakukan tindakan segera dengan menutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula Selasa untuk kerja pembersihan dan proses sanitasi secara menyeluruh. - fotoBERNAMA
Kedah Medical Centre (KMC) bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negeri untuk memastikan pengurusan pencegahan penyebaran virus COVID-19 yang betul dilaksanakan.
Pengarah Perubatan KMC Datuk Dr Kamaruzaman Ali berkata mereka telah selesai menyaring semua kakitangan dan sampel daripada ujian itu sedang dinilai.
Beliau berkata sehingga 12 tengah hari semalam, 19 kakitangan KMC dan 19 ahli keluarga mereka telah dikenal pasti positif COVID-19.
"Pemeriksaan pertama 21 perunding KMC memberikan hasil negatif, namun sebagai langkah berjaga-jaga, KMC akan mengulangi ujian itu esok," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Katanya, semua kawasan yang dikunjungi staf dan pesakit telah segera disanitasi sesuai dengan panduan kawalan jangkitan yang ketat oleh Kementerian Kesihatan.
Pada Selasa, dilaporkan bahawa 18 kakitangan KMC dan tujuh ahli keluarga mereka didapati positif COVID-19. Mereka dikenali sebagai Kluster Sungai.
Hospital itu melakukan tindakan segera dengan menutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula Selasa untuk kerja pembersihan dan proses sanitasi secara menyeluruh.
BACA: COVID-19: Satu lagi kluster baharu di Kedah, dikenal pasti sebagai Kluster Sungai
BACA: Kluster Sungai: Kakitangan kesihatan jangkiti tujuh ahli keluarga
Dr Kamaruzaman berkata menyedari sepenuhnya kesan situasi itu kepada individu dan keluarga mereka, KMC secara proaktif menubuhkan kumpulan sokongan, KMC COVID Carelines.
Ia bertujuan memberi sokongan dan kaunseling kepada warga kerja KMC terutama mereka yang menjalani kuarantin.
"Di samping itu, Pasukan Penguatkuasaan Audit hospital pula akan memastikan petugas mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"KMC juga memanfaatkan teknologi digital dengan mengadakan sesi taklimat maya untuk memastikan semua kakitangan dan pesakit mengikuti perkembangan terkini," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Hospital #kakitangan #kaunseling #Kedah #Kedah Medical Centre #keluarga #Kementerian Kesihatan #kesihatan #Kluster Sungai #KMC #KMC COVID Carelines #koronavirus #kuarantin #operasi #perubatan #perunding #pusat perubatan #sanitasi #taklimat #tutup perkhidmatan
;