COVID-19: Kluster Stutong di Sarawak diisytihar tamat

Syafik Shukri Jalil
Ogos 20, 2020 09:25 MYT
Secara keseluruhan, 685 orang telah disaring dan tujuh kes COVID-19 dikesan menerusi kluster ini atau 1.02 peratus dengan kes terakhir dikesan pada 22 Julai 2020. FOTO: Astro AWANI
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini mengumumkan Kluster Stutong diisytihar tamat.
Ia selepas kluster ini tidak merekodkan pertambahan kes positif terbaharu COVID-19 dalam tempoh 28 hari daripada tarikh terakhir kes positif dikesan.
Untuk rekod kluster ini mula dikesan pada 16 Julai 2020 selepas Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menjalankan saringan aktif di Pasar Stutong berdasarkan hasil siasatan yang mendapati terdapat kes-kes sporadik yang mempunyai sejarah mengunjungi pasar itu.
“Pada 16 Julai 2020, JKNS telah menjalankan aktiviti saringan secara rawak ke atas peniaga yang ada di pasar tersebut.
“56 orang dipilih bagi menjalani saringan COVID-19 dengan menggunakan kaedah RT-PCR dan hasil saringan awal pada 18 Julai 2020, JKNS telah mengesan dua kes positif COVID-19 pada 18 Julai 2020 daripada 56 orang yang disaring,” jelas kenyataan itu.
BACA: COVID-19: Satu kluster baharu di Sarawak, empat kes positif dilaporkan
Justeru, kluster Pasar Stutong diisytiharkan pada 18 Julai 2020 dan diarah tutup selama 14 hari pada hari sama bagi tujuan nyah cemar dan memutuskan rantaian COVID-19.
“Secara keseluruhan, 685 orang telah disaring dan tujuh kes COVID-19 dikesan menerusi kluster ini atau 1.02 peratus dengan kes terakhir dikesan pada 22 Julai 2020.
“Manakala kes terakhir yang telah pulih dan didiscaj dari wad hospital ialah pada 31 Julai 2020,” tambah kenyataan sama.
Menurut kenyataan itu lagi, punca jangkitan COVID-19 di Pasar Stutong adalah berkemungkinan jangkitan tempatan dalam komuniti dan jangkitan berpunca daripada keadaan yang sesak dan penjarakan fizikal yang terhad.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #JKNS #JPBN Sarawak #kluster Stutong #kluster tamat #rT-PCR #Sarawak #tujuh kes