COVID-19: Kluster MV Glen catat satu lagi kes

Faris Danial Razi
September 2, 2020 10:46 MYT
Kes baharu di Kluster MV Glen merupakan isteri kepada kes positif kluster yang telah dilaporkan pada 30 Ogos lalu (iaitu kes ke-9,332).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat satu lagi kes baharu dilaporkan dalam kluster MV Glen.
Menurut beliau, kes baharu itu merupakan isteri kepada kes positif kluster yang telah dilaporkan pada 30 Ogos 2020 (iaitu kes ke-9332).
“Beliau telah dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dan saringan kontak rapat.
“Sehingga 2 September 2020, seramai 58 orang telah disaring. Daripada jumlah tersebut, tiga kes telah dikesan positif COVID-19, 16 individu negatif dan 39 individu masih menunggu keputusan.
“Saringan sign-on dan sign-off adalah penting kerana ia merupakan salah satu langkah bagi memantau kawalan sempadan negara untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 dari luar negara menular masuk ke dalam negara kita,” jelas Dr Noor Hisham dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.
BACA: COVID-19: Kembali satu digit selepas enam lagi kes direkodkan
KKM bersama Jabatan Laut Malaysia juga, kata Dr Noor Hisham, telah mengambil pelbagai langkah bagi memantau dan memperketatkan sempadan negara di Perairan Malaysia.
“Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan telah dibangunkan bagi golongan pelaut yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa (PMA).
“Ini termasuk proses pertukaran anak kapal bermula dari sign-on ke kapal sehingga sign-off dari kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan.
“Proses ini akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” tambah Dr Noor Hisham lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa seramai 12,870 orang telah disaring di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dari tiga zon yang terbabit iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Kedah.
“Daripada jumlah ini, satu kes dikesan positif COVID-19, 12,687 individu adalah negatif dan 182 individu masih menunggu keputusan," katanya lagi.
Namun begitu, dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani saringan.
BACA: COVID-19: Kembali satu digit selepas enam lagi kes direkodkan
#Kementerian Kesihatan #kerajaan #kes positif #KKM #koronavirus #Media #perintah kawalan pergerakan #PKPD