COVID-19: 'Kluster elit' sombong, cerewet ... belum dirawat, perangai perit

Razak Chik
April 9, 2020 05:08 MYT
Kluster tabligh mudah diurus berbanding kluster elit yang jengkel cerewet. -Facebook/ Noor Hisham Abdullah
SUDAH berminggu anggota perubatan barisan hadapan bertarung nyawa bertugas di hospital dan klinik sedang virus korona melanda.
Tanpa menghirau bahaya terjangkit, mereka menjalankan amanah menyaring atau merawat, tidak kira yang dihadapi Tun atau Tan Sri, pelajar, pekerja, mahupun pendatang luar negara.
Namun, kadang kala kalangan yang dilayan ada individu berhidung tinggi, kurang sabar malah rendah peribadi.
Itulah rintihan beberapa anggota barisan hadapan yang memaparkan pengalaman berhadapan dengan karenah pesakit COVID-19 di hospital Sungai Buluh.
Beberapa portal tempatan menjadi medan luahan mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.
Kerenah mereka menyebabkan golongan ini diberi jolokan "kluster elit", dan tak kurang juga yang diberi gelaran "kluster cerewet".
Mengikut seorang petugas, kalangan mereka yang tiba dari luar negara ada yang pulang bercuti atau bertugas rasmi.
Sebelum ini, ada yang bermegah memuatkan gambar bercuti di destinasi luar negara dan berbangga tidak terkesan dari penularan virus korona.
Bila tiba di pusat saringan dan terpaksa akur perintah, kluster cerewet ini kecewa tidak menerima layanan yang pada mereka kelas pertama.
Ada yang mengeluarkan kata-kata kesat menyamakan petugas dengan binatang. Ini berlaku apabila mereka tidak selesa terpaksa menunggu giliran dan mahu saringan dijalankan tanpa mengikut protokol dan peraturan.
Petugas lain yang terlibat sempat membuat perbezaan perangai menjengkelkan golongan elit ini bila dibandingkan dengan kumpulan kluster tabligh.
Menurut mereka, kluster tabligh bersopan santun, ringan tulang, banyak membantu dan sabar reda.
Penat menunggu, mereka mengisi masa terluang membaca Quran dan siap azan bila masuk waktu solat.
Mereka yang pulang dari luar negara kini tinggal dalam kuarantin di beberapa lokasi hotel selama 14 hari.
#COVID-19 #Hospital Sungai Buloh #kluster cerewet #kluster elit #koronavirus #tabligh
;