COVID-19: KKMM nafi Hospital Permai mohon bantuan bekalan PPE
Najmi Syahiran Mamat
Mac 25, 2020 17:01 MYT
Mac 25, 2020 17:01 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan beberapa berita palsu berkaitan COVID-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk dakwaan Hospital Permai memohon bantuan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE).
Menerusi kenyataan pada Rabu, Pasukan Respon Pantas KKMM turut menafikan dakwaan berhubung hospital itu melantik agen untuk menguruskan pembelian PPE.
Sementara itu, kenyataan itu turut menyebut, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking menafikan berita berhubung Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen dari parti Warisan dikuarantin akibat berjangkit dari pemimpin DAP yang positif COVID-19.
“Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan berita dalam empat nota suara yang yang mendakwa darurat akan diisytiharkan,” katanya.
Dalam pada itu, KKMM, menerusi makluman Polis Diraja Malaysia (PDRM), memaklumkan berita melalui nota suara yang mengatakan mayat dalam kereta Myvi di kawasan R&R Hulu Bernam arah utara di Kuala Kubu Baru merupakan mangsa wabak COVID-19 adalah tidak benar.
Kenyataan itu juga menyebut, PDRM menjelaskan klip video yang menunjukkan sepasukan anggota polis menangkap seorang lelaki yang disyaki positif COVID-19 menggunakan pistol perenjat elektrik hanyalah latihan PDRM.
#COVID19
#DAP
#fact check
#Hospital
#Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
#Ketua Menteri
#KKMM
#koronavirus
#MCMC
#PDRM
#Semak Fakta
#SemakFakta