COVID-19: KKM terus kongsi gambar situasi di ICU, mohon rakyat Malaysia patuhi SOP
Astro Awani
Mei 14, 2021 01:16 MYT
Mei 14, 2021 01:16 MYT
KUALA LUMPUR: "Semua katil yang ada di hospital hampir penuh dan mencapai kapasiti maksimum".
Itu situasi sebenar yang dihadapi banyak hospital di negara ini seperti yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu entri di Facebook rasmi kementerian itu, malam tadi.
"Hari ini merekodkan 34 kematian akibat COVID-19. Gambar dari Hospital Kajang ini menunjukkan kesemua katil yang berada di Hospital Kajang sudah pun penuh.
"Begitu juga di Hospital Ampang, Selayang, Sungai Buloh dan hospital-hospital COVID-19 yang lain. Keadaan sudah sesak.
"Pun begitu, sistem kesihatan di negara kita belum lagi sampai ke tahap perlu memilih siapa yang perlu berada di atas katil ICU untuk dirawat," tulis KKM di ruangan kapsyen.
Tambah KKM, petugas barisan hadapan juga tidak ke mana-mana dan sentiasa ada di wad ICU untuk merawat pesakit.
"Demi menyelamatkan nyawa, semua frontliners meneruskan tugas harian mereka seperti biasa pada ketika hari raya pertama dan kedua Aidilfitri ini.
"Cuma satu sahaja yang dipinta daripada seluruh rakyat Malaysia, patuhlah pada peraturan yang telah ditetapkan. Jaga diri, jaga keluarga kita. Jangan biarkan keluarga kita menjadi salah seorang yang berada di wad ICU ini. "