COVID-19: KKM teliti tujuh indikator sebelum perketat SOP - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Januari 10, 2023 15:45 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya data menunjukkan peningkatan di semua indikator, maka pihaknya akan melihat tindakan susulan. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan meneliti tujuh indikator sebelum memutuskan untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya data menunjukkan peningkatan di semua indikator, maka pihaknya akan melihat tindakan susulan.
"Kita akan pantau dahulu bukan hanya berdasarkan kemasukan ke hospital tetapi banyak indikator lain yang kita guna pakai seperti jangkaan kes, kes harian dan sebagainya.
"Antara indikator yang akan dilihat ialah peningkatan kes import yang mendadak, iaitu pada ketika ini hanya tiga atau empat kes import sahaja direkodkan sebulan dan pengesanan varian baharu daripada pensampelan air kumbah dan tempat-tempat berisiko.
"Apa yang kita bimbangkan kalau ada varian baharu, kita tidak pasti sama ada vaksin kita berkesan atau tidak. Kita juga akan semak dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sama ada ada pendaftaran varian lain dikesan atau tidak," katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bersama media, di sini pada Selasa.
Noor Hisham memberitahu, ketujuh-tujuh indikator itu ialah:
1. Kes COVID-19 kategori import A dari negara China meningkat. Pada masa ini, hanya tiga hingga empat kes import A dari China sebulan.
2. Pengesanan varian baharu dari persampelan air kumbah pesawat dari China. Setakat ini, semua varian yang dikesan adalah yang lazim dalam persekitaran.
Setakat ini tiada varian atau subvarian baharu yang dikesan.
3. Peningkatan kes Jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan angkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dari survelan komuniti di mana persampelan dibuat di fasiliti kesihatan terpilih bagi kes-kes ILI dan SARI.
4. Pengesanan pelaporan varian baharu oleh negara luar, dari sampel kes COVID-19 dan sampel persekitaran yang berkaitan dengan peningkatan kes COVID-19 di negara-negara luar tersebut.
Contohnya varian XBB.1.5 yang dikesan di Amerika Syarikat (AS) dengan peningkatan kes COVID-19 yang ketara di negara tersebut.
Setakat ini, varian XBB.1.5 masih belum dilaporkan di Malaysia.
5. Kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan yang terbeban dengan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi sehingga melebihi keupayaan (>30 peratus kadar penggunaan katil (BOR))
6. Peningkatan kes kematian COVID-19 terutama jika ianya dalam kumpulan umur yang bukan dari kumpulan berisiko (umur >60 tahun, individu dengan komorbiditi, tidak lengkap vaksin) dan kes kematian COVID-19 di rumah (BID).
7. Peningkatan kes COVID-19 di negara-negara yang bersempadan dengan Malaysia terutama Singapura, Thailand dan Indonesia.
#Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #SOP #Pertubuhan Kesihatan Sedunia
;