COVID-19: KKM peroleh 33 juta stok PPE

Harits Asyraf Hasnan
Mac 23, 2020 10:32 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian memperoleh lebih 33 juta PPE untuk diedarkan kepada semua fasiliti kesihatan. Gambar Bernama.
Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang mencukupi untuk setiap fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara usaha dilakukan termasuk menyelaras pembekalan bersama jabatan kesihatan negeri.
"Sehingga kini, pihak KKM telah berjaya memperolehi stok bekalan PPE sebanyak 33 juta unit yang dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan dan akan diedarkan dalam minggu ini.
"Selain itu, kerajaan juga telah menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah tiga juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti-fasiliti kesihatan mengikut keperluan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Justeru beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan yang diberikan kepada pihaknya.
#Dr Noor Hisham #Kementerian Kesihatan #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM #peralatan perlindungan peribadi #PPE