COVID-19: KKM pantau kemungkinan bekas pesakit alami kesan jangka panjang

Madiha Abdullah
Oktober 20, 2020 20:11 MYT
Kajian juga sedang dijalankan untuk menilai tahap antibodi bekas pesakit terhadap virus berkenaan. - Foto/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan pemantauan berhubung komplikasi atau kesan jangka panjang COVID-19 terhadap bekas pesakit.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mungkin terdapat perbezaan kesan bagi mereka yang mengalami jangkitan tahap empat atau lima, dengan mereka yang tidak bergejala atau bergejala ringan.
"Kita ada rawatan susulan bagi bekas pesakit ini. Mereka yang tidak bergejala atau bergejala ringan, kesan jangka panjang mungkin lebih kurang.
"Bagi mereka yang mengalami jangkitan tahap empat atau lima, kita sedang memantau sama ada terdapat kesan pada paru-paru yang boleh menyebabkan sesak nafas dan sebagainya.
"Tetapi apa yang pasti, mereka (bekas pesakit) ini sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital," ujarnya.
Beliau menambah, kajian juga sedang dijalankan untuk menilai tahap antibodi bekas pesakit terhadap virus berkenaan.
"Biasanya apabila dijangkiti, badan kita akan ada antibodi terhadap virus tersebut. Persoalan sekarang, berapa lama antibodi itu akan kekal dalam badan?
"Laporan awal yang kita terima ialah antibodi itu semakin berkurangan selepas lapan minggu. Inilah perkara yang kita perlu lihat dan belajar lebih banyak lagi," katanya.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #KKM #virus #pesakit #komplikasi #kesan jangka panjang #kajian mendalam #Bekas pesakit
;