COVID-19: KKM laksana saringan secara pandu lalu di Sandakan

Ridzal Abdullah
November 24, 2020 08:18 MYT
Seorang pemandu menjalani ujian calitan secara pandu lalu di Dewan Hakka, Sandakan pada Isnin. -Astro AWANI
SANDAKAN: Dalam usaha memerangi penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan kaedah ujian saringan secara pandu lalu di Dewan Hakka, Sandakan, Sabah.
Ujian secara calitan atau swab test yang bermula sejak Isnin itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada orang awam di wilayah itu.
Melalui kaedah saringan pandu lalu, orang ramai tidak perlu turun dari kenderaan untuk berurusan di kaunter seperti kebiasaannya.
Bukan itu sahaja, ia dibuat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat termasuk bukan warganegara.
Hasil tinjauan di lokasi mendapati sambutan terhadap kaedah berkenaan sangat memberangsangkan.
Seawal jam 9 pagi lagi, orang ramai sudah menunggu giliran dalam kenderaan masing-masing.
Rata-rata orang ramai yang ditemui meluahkan keterujaan menjalani ujian calitan secara pandu lalu.
Pegawai pusat jualan kereta Marilyn Norbert berkata beliau berasa lebih selesa melakukan ujian secara pandu lalu.
“Sebenarnya saya tidak tahu ada ujian saringan secara pandu lalu, tapi kebetulan nampak ada barisan kenderaan di sini, saya terus ikut.
"Ya, bagus, lebih selamat dan rasa macam selesa,” kata Marilyn.
Bagi guru sekolah rendah Yvonne Chua Sin Len pula, kaedah pandu lalu ini lebih selamat malah berharap agar lebih banyak kaunter dapat dibuka.
“Saya rasa lebih bagus kalau di kereta saja, lebih selamat kalau dibanding dengan orang ramai di kaunter.
"Saya rasa elok dibuka beberapa stesen untuk percepatkan proses," kata Yvonne.
Bagi kontrakotr Yi Min Ji pula, ujian saringan swab test sangat mudah, tidak menyakitkan dan orang ramai tidak perlu takut menjalaninya.
“Biasalah, tak ada apa-apa yang sakit, tak perlu risau.
"Saya sudah recommend kawan, tidak perlu risau lagilah lepas buat test ni,” kata Min Ji.
Di lokasi sama juga, KKM turut membuka kaunter ujian saringan COVID-19 seperti biasa.
Kaunter ujian secara pandu lalu dan kaedah ke kaunter itu diadakan selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat ini.
Ujian saringan dimulakan seawal jam 9 pagi hingga 5 petang.
#Sandakan #COVID-19 #ujian saringan #KKM #Kementerian Kesihatan #swab test #Dewan Hakka #pandu lalu
;