COVID-19: KKM, KPM perhalusi pengelasan sub kluster pendidikan - Dr Adham

Umavathi Ramayah
April 24, 2021 17:43 MYT
Dr Adham Baba menjelaskan, pengkelasan itu adalah berikutan kekeliruan yang menyebabkan orang ramai melonggokkan semua kluster pendidikan di bawah KPM. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memperhalusi pengelasan sub kluster pendidikan mengikut agensi atau kementerian yang bertanggungjawab.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan, ia adalah berikutan kekeliruan yang menyebabkan orang ramai melonggokkan semua kluster pendidikan di bawah KPM.
"Contohnya institusi pendidikan tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sementara Institut Latihan Perindustrian (ILP) pula terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia.
"Jadi sub kluster-kluster ini perlu jelas.
"Kita tidak mahu nanti apabila sebut kluster pendidikan, orang ramai beranggapan semua sekolah di bawah KPM, kita kena betulkan keadaan," katanya di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Adham berkata, apabila berlaku sesuatu jangkitan di tempat pendidikan, KKM dan KPM akan memperincikan sub kluster mengikut agensi atau kementerian bertanggungjawab.
"Satu lagi sekolah swasta, sekolah swasta bukan milik KPM. Ia dikendalikan oleh pihak swasta. Ini mungkin sub kluster pendidikan tapi akan dikelaskan sebagai kluster pendidikan swasta.
"Saya harap orang ramai dapat memahami kes-kes yang datang dari agensi atau kementerian mana dan bukan dilonggokkan di bawah KPM,"jelasnya.
#Kluster Pendidikan #Adham Baba #Kementerian Kesihatan #Kementerian Pendidikan #COVID-19 #Kementerian Pengajian Tinggi
;