COVID-19: KKM kesan kes tidak patuh SOP kuarantin di rumah

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2022 10:38 MYT
KHAIRY: Kita sudah siasat, memang betul ada ketidakpatuhan SOP di rumah yang akhirnya telah menyebabkan kes-kes kontak rapat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah sehingga mengakibatkan kes-kes kontak rapat.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kes kontak rapat tersebut telah menyebabkan jangkitan COVID-19 kepada individu lain.
"Kita tidak ada cara untuk menguat kuasa kuarantin di rumah, sama ada dia duduk dalam bilik atau tidak," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Khairy berkata, KKM mengenal pasti sembilan kluster melibatkan jemaah umrah selepas kerajaan mengumumkan aktiviti tersebut dibuka semula mulai 13 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, lima kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan Omicron, satu kluster melibatkan kes indeks dipercayai Omicron dan tiga kluster melibatkan kes positif yang bukan varian berkenan.
Jelasnya, sehingga 30 Dis lalu, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif COVID-19.
"Kita hendak tekankan pada pagi ini, sudah berlaku enam kluster Omicron dan tiga kluster bukan varian Omicron - mungkin berkenaan Delta.
"Ia melibatkan kes import dan mereka yang balik daripada umrah dan menjangkiti ahli keluarga yang lain.
"Apa yang saya sebut pada sesi sidang media yang lepas, kita sudah siasat, memang betul ada ketidakpatuhan SOP di rumah yang akhirnya telah menyebabkan kes-kes kontak rapat," jelas Khairy.
#Kementerian Kesihatan #Khairy Jamaluddin #KKM #Omicron
;