COVID-19: KKM alu-alukan penyertaan, kerjasama pengamal perubatan swasta

Bernama
April 21, 2020 05:37 MYT
Pengamal perubatan swasta yang berminat boleh mendaftar penyertaan di pautan khas disediakan dalam portal http://www.moh.gov.my. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama pengamal perubatan swasta untuk membantu memberikan perkhidmatan kesihatan dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkhidmatan tersebut boleh dilakukan sama ada di fasiliti kesihatan KKM atau di penempatan tertentu yang lain mengikut lokaliti terdekat dengan lokasi pengamal perubatan yang berkenaan.
"Kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) menawarkan bayaran perkhidmatan sebagai penghargaan ke atas sumbangan yang diberikan dalam waktu pandemik COVID-19 ini.
"KKM menghargai keprihatinan pelbagai pihak yang menyatakan kesediaan untuk bersama dengan KKM mengharungi tempoh mencabar ini khususnya dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan malam Selasa.
Dr Adham berkata pengamal perubatan swasta yang berminat boleh mendaftar penyertaan di pautan khas disediakan dalam portal http://www.moh.gov.my.
-- BERNAMA
#Adham Baba #barisan hadapan #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #Malaysia #petugas perubatan
;