COVID-19: Kita tidak boleh berputus asa - PM Muhyiddin

Hilmi Malik
Februari 20, 2021 22:38 MYT
Masyarakat Cina banyak menyumbang kepada eknomi negara khususnya bagi sektor pelancongan kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru supaya tidak berputus asa meskipun negara sedang berdepan dengan situasi yang “cukup luar biasa” akibat penularan COVID-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji, kerajaan akan terus memastikan keseimbangan dalam aspek kelangsungan hidup serta ekonomi di negara ini.
“Pada masa sama kita tidak boleh berputus asa ibarat seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia membajak serta berbakti kepada tanah.
“Kerajaan prihatin dan sentiasa mendengar pandangan dan keluhan mereka yang terkesan akibat pandemik ini.
“Oleh itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi dan yang terbaharu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya ketika berucap sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina norma baharu 2021 secara maya, pada Sabtu.
Menurut Perdana Menteri, tahun 2020 adalah tahun yang sukar dan memberi banyak pengajaran buat semua di sebalik pandemik COVID-19 yang masih melanda ketika ini.
“Seperti negara-negara lain, Malaysia turut berdepan dengan situasi cukup luar biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut memuji masyarakat Cina di Malaysia kerana menjadi antara pihak yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Ujar beliau, sumbangan tersebut termasuk bagi sektor pelancongan, seni dan budaya negara yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik dalam kalangan pelancong asing.
Tambahnya, usaha itu harus mendapat kerjasama semua pihak dalam memastikan kekayaan warisan seni serta budaya pelbagai kaum akan terus dipelihara, sekali gus menjadi aset kebanggaan bersama.
#Perdana Menteri #ekonomi #kerajaan #pelancongan #Cina #COVID-19 #Muhyiddin Yassin #pandemik
;