COVID-19: Kita semua menghadapi malapetaka yang dahsyat - Tun M
Astro Awani
Mac 23, 2020 19:28 MYT
Mac 23, 2020 19:28 MYT
Kesan wabak COVID-19 dari sudut ekonomi akan dirasai di seluruh dunia termasuk negara kaya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menulis di blognya, Dr Mahathir menjelaskan banyak sektor di seluruh dunia akan terjejas akibat penularan wabak berkenaan.
Mengambil contoh pendapatan negara, Dr Mahathir berkata industri pelancongan negara yang merupakan sumber pendapatan asing kedua terbesar selepas Petronas terjejas teruk menyebabkan kerajaan akan kehilangan banyak hasil.
"Orang yang bekerja di industri pelancongan akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Ini sesuatu yang buruk kerana mereka memerlukan makanan dan minuman," katanya.
Dr Mahathir juga menjelaskan hasil kerajaan mungkin turun hingga 30 bilion akibat penurunan harga minyak sebanyak 50 peratus daripada harga yang dianggarkan.
Beliau menjelaskan untuk tahun ini, kerajaan menganggarkan satu tong minyak mentah ditetapkan pada harga USD63 (anggaran RM280) setong namun kini ianya menurun.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut berkata, pakej rangsangan yang dimumkan kerajaan melibatkan peningkatan dalam perbelanjaan dan penurunan cukai.
Beliau juga menjelaskan hasil kerajaan juga akan terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan mengurangkan perniagaan serta keuntungan.
"Bagi perusahaan kecil, kerugian akan menjadi sangat teruk. Mereka ini mendapat hari ini untuk hari ini.
"Sekalipun mereka mampu melakukan perniagaan, tidak akan cukup untuk membayar makanan mereka. Kerajaan mungkin memberi mereka sokongan kewangan," katanya lagi.
Dr Mahathir kini sedang menjalani proses kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari biar pun telah disahkan negatif COVID-19.
#COVID-19
#ekonomi
#kuarantin
#Mahathir Mohamad
#negara
#pakej rangsangan
#pelancongan
#pendapatan
#penurunan cukai