COVID-19: 'Kita jaga kita bah' - Nasihat Muhyiddin kepada rakyat Sabah

Fareez Azman
September 15, 2020 21:01 MYT
Muhyiddin yakin pengundi akan faham jika calon yang berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Gambar: Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penduduk di Sabah agar lebih berhati-hati susulan peningkatan kes dan kluster baharu di Lahad Datu dan Tawau.
Malah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), katanya normal baharu perlu sentiasa diamalkan oleh rakyat serta calon yang bertanding termasuk ketika berkempen.
"Saya ingin mengingatkan saudara dan saudari yang berada di Sabah supaya sentiasa mengamalkan normal-normal baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin.
"Kepada petugas-petugas pilihan raya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
"Malah amalan bersalaman dan berkumpul juga (ketika berkempen) perlu dielakkan terutama melibatkan calon dan pengundi," katanya pada Perutusan Khas Mengenai Situasi Semasa COVID-19 pada malam Selasa.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yakin pengundi akan faham jika calon yang berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman.
"Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan COVID-19. Kita jaga kita bah," kata Perdana Menteri.
#calon #Kementerian Kesihatan #kempen #KKM #Lahad Datu #Majlis Keselamatan Negara #Muhyiddin Yassin #norma baharu #pengundi #Perdana Menteri #Pilihanraya Negeri #PRN Sabah #rakyat #Sabah #Sabah Memilih #SOP #Tawau
;