COVID-19: Kibar Jalur Gemilang solidariti buat barisan hadapan - KTMB

Bernama
Mac 27, 2020 01:55 MYT
Jalur Gemilang mula dinaikkan di ibu pejabat KTMB di Jalan Sultan Hishammuddin, Kuala Lumpur. - Foto KTMB
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggerakkan kempen 'Kibar Jalur Gemilang' sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia memerangi penularan wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kamarulzaman Zainal dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam usaha memberi kesedaran dan galakan, menyokong usaha kerajaan memerangi COVID-19.
"Kami berharap kempen ini mampu meningkatkan semangat patriotisme dan moral rakyat khususnya kepada adiwira barisan hadapan yang berjuang mengekang penularan wabak itu.
"Pengibaran bendera itu juga akan dilakukan di semua stesen rangkaian KTMB di seluruh Semenanjung," katanya yang menambah Jalur Gemilang mula dinaikkan di ibu pejabat syarikat berkenaan di Jalan Sultan Hishammuddin, dekat sini.
-- BERNAMA
#barisan hadapan #Jalur Gemilang #Kamarulzaman Zainal #Kibar Jalur Gemilang #koronavirus #KTMB #patriotisme #rakyat Malaysia #solidariti #tanggungjawab sosial korporat