COVID-19: Ketidaksamarataan jantina dalam pekerjaan akan berterusan

Astro Awani
Julai 25, 2021 18:18 MYT
Ketidaksamarataan jantina dalam dunia pekerjaan yang semakin ketara semasa pandemik COVID-19 akan berterusan untuk tempoh waktu terdekat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ketidaksamarataan antara wanita dan lelaki dalam dunia pekerjaan yang semakin ketara semasa pandemik COVID-19 akan berterusan untuk tempoh waktu terdekat, lapor Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Ringkasan laporan itu mendapati terdapat penurunan 13 juta wanita bekerja pada tahun 2021 berbanding tahun 2019, sementara jumlah lelaki bekerja akan mula pulih seperti sebelum pandemik.
Hanya 43.2 peratus wanita bekerja pada tahun 2021 berbanding dengan 68.6 peratus lelaki.
Laporan ILO bertajuk Building Forward Fairer: Hak wanita untuk bekerja dan di tempat kerja sebagai teras pemulihan COVID-19, menunjukkan bahawa wanita hilang pekerjaan dan pendapatan mereka juga tidak stabil didorong faktor sektor utama pekerjaan mereka paling terjejas, seperti perkhidmatan dan makanan, selain sektor pembuatan.
Di seluruh dunia, antara 2019 dan 2020, jumlah pekerja wanita menurun 4.2 peratus, mewakili 54 juta pekerjaan, sementara lelaki menurun 3 peratus atau 60 juta pekerjaan.
Amerika Syarikat mengalami pengurangan terbesar dalam pekerjaan wanita diikuti negara-negara Arab di mana, antara tahun 2019 dan 2020, dengan peratusan penurunan sebanyak 4.1 peratus.
Di Asia dan Pasifik, penurunan jumlah pekerja wanita ialah 3.8 peratus, dibandingkan dengan penurunan 2.9 peratus dalam kalangan lelaki.
Laporan ini menekankan bahawa pembangunan yang lebih adil bermaksud meletakkan kesamarataan jantina sebagai teras usaha pemulihan dan menerapkan strategi responsif gender.
Beberapa strategi dicadangkan untuk tujuan itu, antaranya:
1. Pelaburan dalam ekonomi penjagaan kerana sektor kesihatan, pekerjaan sosial dan pendidikan adalah sumber pekerjaan yang penting, terutama bagi wanita, dan kerana dasar cuti dan aturan kerja yang fleksibel dapat mendorong pembahagian kerja di rumah yang sama rata antara lelaki dan wanita.
2. Akses perlindungan sosial yang komprehensif, mencukupi dan mampan untuk semua bagi mengurangkan jurang antara jantina.
3. Tangga gaji yang sama untuk nilai kerja yang sama.
4. Tiada lagi keganasan dan gangguan dalam dunia pekerjaan. Keganasan rumah tangga dan kekerasan serta sebarang bentuk gangguan berdasarkan jantina semakin buruk sejak pandemik, yang seterusnya mengganggu kebolehan wanita untuk terlibat dalam pekerjaan.
5. Mempromosikan penyertaan wanita dalam membuat keputusan, dialog sosial dan institusi rakan sosial.
#Jantina #pandemik #ekonomi #pekerjaan #COVID-19 #ketidaksamarataan jantina
;