COVID-19: Kesesakan pusat pemindahan sementara banjir boleh tingkat risiko penularan penyakit - KKM
Bernama
Disember 20, 2020 20:50 MYT
Disember 20, 2020 20:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar sentiasa menjaga kesihatan kendiri, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam situasi negara masih dilanda pandemik COVID-19, keadaan sesak seperti di PPS boleh meningkatkan risiko bagi penularan penyakit.
"Sehubungan itu, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu oleh semua mangsa banjir di PPS perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua agensi yang terlibat.
"Selain itu, mangsa banjir juga perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan Klinik Kesihatan (KK) Rantau Panjang, Kelantan turut terjejas akibat banjir dan perkhidmatan berkaitan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.
#PPS
#banjir
#COVID-19
#risiko
#penularan penyakit
#kesesakan
#keadaan sesak
#berwaspada
#pelitup muka
#SOP
#kesihatan
#kendiri
#Dr Noor Hisham Abdullah