COVID-19: Kesan ekonomi juga boleh 'membunuh', bukan hanya kesihatan awam - Dr Jemilah Mahmood
Fareez Azman
Februari 5, 2021 18:46 MYT
Februari 5, 2021 18:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah meninggalkan pelbagai kesan yang besar pada sektor ekonomi dan kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Sehubungan itu, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, selain sektor kesihatan yang menjadi keutamaan, faktor ekonomi juga dikhuatiri boleh memberi kesan termasuk peningkatan kadar bunuh diri.
"Sektor kesihatan adalah keutamaan, kepada sesiapa yang kehilangan orang tersayang akan melihat kepentingan sektor kesihatan itu penting dan ekonomi diletakkan perkara kedua.
"Tetapi ekonomi hanya akan baik jika sektor kesihatan baik, tetapi ekonomi juga boleh membunuh apabila ramai yang berdepan dengan kesempitan ekonomi.
Kita dapat lihat kadar bunuh diri meningkat, ada cerita rakyat yang kehilangan pendapatan sehingga tidak ada makanan dan sebagainya. Murid di sekolah pulah terjejas pendidikan mereka, jadi semua perkara terkesan akibat pandemik ini," kata beliau dalam temu bual khas bertajuk 'Society after Covid-19: What will change and what have we learnt?' pada Khamis.
Tambah Dr Jemilah, penyelesaian tuntas merangkumi semua sektor perlu diberi perhatian dan bukan hanya tertumpu pada bidang kesihatan sahaja.
Sejak Mac 2020 sehingga kini, banyak sektor perniagaan mengalami kesan apabila ada kilang dan perniagaan gulung tikar meskipun pelbagai pakej ransangan dilancarkan oleh kerajaan dalam membantu ekonomi terus bertahan.
Malah dalam Belanjawan 2021, kerajaan turut memperuntukkan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat akibat pandemik COVID-19.
#Perdana Menteri
#ekonomi
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#kerajaan
#pendidikan
#kesihatan
#rakyat
#Kadar bunuh diri