COVID-19: Kes positif saringan individu bergejala terus meningkat di Sabah

Syafik Shukri Jalil
Ogos 14, 2021 08:28 MYT
Saringan kontak rapat kekal menjadi penyumbang tertinggi kes positif COVID-19 di Sabah, dengan 1,063 kes atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Sabah melaporkan pertambahan 1,752 kes positif COVID-19 dengan saringan individu bergejala terus mencatatkan peningkatan iaitu 538 kes atau 31 peratus pada Sabtu.
Menurut kenyataan Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, 144 kes saringan individu bergejala dilaporkan di Kota Kinabalu.
Ia diikuti 40 kes di Tuaran, Penampang (71), Sandakan (49), dan Tawau (67).
"Jumlah kes melalui saringan bergejala yang tinggi adalah satu peringatan bagi rakyat untuk menjaga SOP secara total semasa berada di khalayak ramai khususnya di kawasan tertutup seperti pasar raya dan restoran.
"Ini juga salah satu sebab kerajaan negeri mahu memperkenalkan keperluan dua dos lengkap bagi mereka yang bekerja atau melanggan di pasar raya dan restoran. Ini untuk mengurangkan risiko jangkitan kes sporadik di kawasan yang dikunjungi ramai orang," katanya.
Selain itu, saringan kontak rapat kekal menjadi penyumbang tertinggi kes positif COVID-19 di negeri itu dengan 1,063 kes atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan hari ini.
Pada masa sama, 376 kes merupakan kategori satu, 972 kes kategori dua, 10 kes kategori tiga, enam kes kategori empat dan tiga kes kategori lima.
Antara lain tambahnya, 44.6 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima dos pertama vaksin manakala 20.8 peratus sudah melengkapkan dua dos lengkap setakat Jumaat.
#COVID-19 di Sabah #saringan COVID-19 di Sabah #saringan individu bergejala #kluster baharu di Sabah #kluster aktif di Sabah #PICK di Sabah #vaksin lengkap di Sabah