COVID-19: Kes keseluruhan di Sarawak kini 10,674
Astro Awani
Mac 5, 2021 19:15 MYT
Mac 5, 2021 19:15 MYT
KUCHING: Sarawak hari ini mencatat penambahan 250 kes baharu COVID-19, menjadikan kes kumulatif kini berjumlah 10,674 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan, kes baharu ini sebahagian besarnya direkodkan di daerah Sibu dengan 123 kes.
“Daripada jumlah itu 87 kes merupakan individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif COVID-19,”jelas kenyataan berkenaan.
JPBN Sarawak turut memaklumkan lima daerah mencatat dua digit kes iaitu Meradong dengan 36 kes, Bintulu (21), Kuching (17), Kapit (17), Miri (14) dan Julau (7).
Serian pula merekodkan empat kes, Daro dengan (3), Asajaya, Samarahan dan Selangau (2) sementara Dalat dan Sri Aman masing-masing satu kes.
Sementara itu 25 kluster masih aktif dengan empat daripadanya mencatat penambahan kes.
Kluster Sungai Bakong, Meradong merekodkan penambahan 33 kes menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 182 kes.
Ia diikuti Kluster Emperoh Jambu, Kuching (14), Kluster Pasai, Sibu (6) dan Kluster Buloh, Selangau (1).
Daerah Selangau, Betong, Meradong, Kuching, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah dengan sejumlah 1,770 kes jangkitan tempatan dilaporkan di 10 buah daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas.
#COVID-19
#Sibu
#Kuching
#Bintulu
#Miri
#kes positif
#JPBN Sarawak
#Kluster Sungai Bakong
#Kluster Emperoh Jambu
#Kluster Pasai