COVID-19: Kes ke-22 direkodkan melibatkan warganegara Amerika Syarikat
Nursyazwani Saiful Sham
Februari 15, 2020 21:43 MYT
Februari 15, 2020 21:43 MYT
Satu lagi kes baharu direkodkan di negara ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 22 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan pertambahan kes baharu yang dilaporkan setakat Sabtu malam.
Jelasnya, kes ke-22 ini melibatkan seorang wanita berusia 83 tahun warganegara Amerika Syarikat.
"Beliau adalah salah seorang penumpang kapal persiaran yang telah berlabuh di Kemboja pada 13 Februari 2020.
"Semua penumpang dan anak kapal telah dibenarkan pulang ke negara masingmasing oleh kerajaan Kemboja setelah memaklumkan bahawa saringan kesihatan telah dijalankan ke atas mereka.
"Seramai 145 penumpang kapal persiaran tersebut telah mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Februari 2020," ujarnya.
Dr Noor Hisham turut menjelaskan, pesakit dan suaminya dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
"Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan telah disahkan positif pada 15 Februari 2020.
"Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan," katanya.
Buat masa ini, ujian pengesanan COVID-19 bagi suaminya yang berusia 85 tahun dan juga warganegara Amerika Syarikat adalah negatif.
Bagaimanapun, dia masih menerima rawatan dan pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya.