COVID-19: Kes jangkitan baharu di sabah kekal stabil antara 60-150 kes - Masidi

Astro Awani
April 17, 2022 15:49 MYT
Masidi berkata, 69 kes direkodkan pada Ahad dengan hanya Kota Kinabalu rekodkan kes dua angka iaitu 20 kes.
KOTA KINABALU: Jumlah jangkitan baharu di Sabah dijangka kekal stabil dalam masa terdekat dengan pergerakan turun-naik angka harian dalam lingkungan antara 60 hingga 150 kes.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, 69 kes direkodkan pada Ahad dengan hanya Kota Kinabalu rekodkan kes dua angka iaitu 20 kes.
"18 daerah lain di Saba merekodkan kes baharu satu angka yang mana 12 daripada tersebut mencatatkan satu atau dua kes baharu.
"Manakala tiada jangkitan baharu di lapan daerah. Bagi jangkitan sporadik pula masih tinggi iaitu 58 peratus," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Daripada 69 kes baharu hanya empat kes dalam Kategori 3 hingga 5.
Selain itu, Masidi menambah, penyambung semula operasi penerbangan antarabangsa ke Kota Kinabalu juga membawa risiko jangkitan dari luar negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap protokol kesihatan bagi semua penumpang antarabangsa serta SOP yang dikuatkuasakan dapat mengawal risiko jangkitan.
#Jangkitan baharu di Sabah #kes COVID-19 stabil #jangkitan sporadik #Masidi Manjun
;