COVID-19: Kes harian meningkat, 'wake-up call' untuk semua - Dr Malina

Fareez Azman
Februari 7, 2022 20:11 MYT
Menurut Dr Malina, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih berdisplin boleh membawa kepada penurunan kes harian. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes harian COVID-19 di negara ini ketika ini sepatutnya menjadi 'wake up call' kepada semua pihak dalam meningkatkan usaha menangani penularan varian Omicron.
Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, ledakan kes harian sudah dijangka sepertimana negara-negara lain yang berdepan situasi sama.
Bagaimanapun jelasnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih berdisplin boleh membawa kepada penurunan kes harian.
"Ia sepatutnya menjadi wake up call dan diterjemahkan dengan usaha kita yang lebih bersungguh-sungguh untuk patuh kepada SOP, menjaga daripada dijangkiti dan mengelakkan perkara yang berisiko.
"Apa yang berlaku kadang-kadang ia disalah tafsir, apabila kes meningkat ada yang panik, kelam kabut dan keluarkan kenyataan tidak sepatutnya.
"Ada juga yang panik hanya mungkin kontak kasual, pergi ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), ini menyebabkan bebanan kakitangan barisan hadapan yang terpaksa memeriksa lebih individu," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Isnin.
Tambah Dr Malina, orang ramai seharusnya tidak panik dan memahami garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
Pada masa sama ujarnya, usaha kerajaan dalam meningkatkan pemberian dos penggalak juga boleh membawa kepada kejayaan menurunkan kes harian sepertimana yang pernah dicapai negara tahun lalu.
"Apa yang patut dilakukan memahami dari semasa ke semasa, garis panduan dikeluarkan KKM, ini perlu difahami supaya dapat elakkan diri dapat jangkitan bukan panik dan mengusarkan semua pihak.
"Tidak ada keperluan untuk panik dalam tempoh terdekat, yang penting kita patuh SOP, ambil dos penggalak dan pastikan penularan tidak berlaku," jelasnya lagi.
Mengulas mengenai peningkatan kluster komuniti, tambahnya, orang ramai perlu tidak alpa dalam memastikan penjagaan kendiri itu sentiasa diamalkan.
Lebih lagi tambah Dr Malina, apabila majlis keramaian diadakan dan menyebabkan lebih ramai yang leka daripada mengikut setiap peraturan yang ditetapkan sekali gus menyebabkan ledakan kes berlaku.
"Kita perlu berhati hati dalam konteks ini, kelemahan kita masyarakat di peringkat individu selalu berjumpa dengan rakan rapat kita selalu rasa okay untuk tidak memakai pelitup muka.
"Ini sepatutnya kita elakkan, SOP memang dah nyatakan perlu pakai pelitup muka kecuali makan dan minum selain daripada itu perlu pakai pelitup muka dan jaga semua SOP. Saya berpendapat SOP sedia ada memadai, mencukupi dan disamping itu keperluan dos diterima mampu mengekang berlaku penularan.
"Tinggal lagi komitmen kita antara satu individu dengan individu lain dalam majlis keramaian dan sebagainya kita perlu saling ingat mengingatkan saling patuh apa yang kita perlu lakukan," katanya lagi.
#varian omicron #kes harian #COVID-19 #Pakar Kesihatan Awam #KKM #negara #penularan #SOP
;