COVID-19: Kes baharu cecah paras tertinggi tahunan, KJ dan Kian Ming saran lima langkah
Firdaus Azil
Disember 15, 2023 11:30 MYT
Disember 15, 2023 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran untuk menggunapakai lima langkah strategik bagi mengawal penularan kes COVID-19 di negara ini, susulan kes baharu mencecah paras tertinggi tahunan iaitu 29,129 kes pada 11 Disember 2023, satu trend yang turut disaksikan di peringkat serantau dan global.
Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat berkata, langkah pertama ialah memperkenal dan menggalakkan semula prosedur amalan standard (SOP) TRIIS iaitu Test (Uji)), Report (Lapor), Isolate (Asingkan diri), dan Seek (Dapatkan bantuan/rawatan) dalam kalangan orang ramai.
Mereka berkata, langkah itu penting supaya semua pihak perlu bersama-sama mengambil langkah pencegahan, sementara sektor awam bersedia menghadapi kemungkinan gelombang baharu jangkitan COVID-19.
“Kedua, Kementerian perlu mengesyorkan pengambilan suntikan dos penggalak terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan berisiko tinggi - seperti warga emas dan mereka dengan sistem imun yang lemah.
“KKM harus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memudah cara proses perolehan yang telus bagi mendapatkan varian-varian terbaru vaksin penggalak yang terdapat di pasaran. Pada masa yang sama, KKM harus mula mengaktifkan semula ekosistem imunisasi di seluruh negara melalui klinik dan hospital swasta serta Kerajaan,” kata mereka lagi.
Ketiga, kata Khairy dan Kian Ming, KKM perlu mempertimbang untuk memulakan semula penggunaan aplikasi MySejahtera bagi tujuan laporan dan pemantauan kesihatan para pesakit COVID-19.
“Pada masa yang sama, KKM juga harus mengerahkan pasukan analisis datanya (atau bekerjasama dengan pihak lain yang mempunyai keupayaan analisis data) untuk menganalisis data baharu COVID-19.
“Ini bagi mengenal pasti corak penyebaran wabak berdasarkan lokasi, tempat kerja dan lain-lain data demografik pesakit. Para penyelidik juga boleh mengakses data awam COVID-19 di https://github.com/MoH-Malaysia/covid19-public untuk membantu dalam tugasan menganalisis data,” kata Khairy dan Kian Ming.
Keempat, kata mereka, KKM harus bekerjasama rapat dengan MITI dan Kementerian Sumber Manusia untuk mengesan corak penyebaran jangkitan dalam kalangan pekerja kilang serta menjalankan siasatan ke atas keadaan hidup para pekerja tersebut.
“Salah satu sebab terjadinya 'kluster kilang' semasa pandemik lalu adalah kerana ramai dalam kalangan pekerja ini yang kebanyakannya warga asing, tinggal berhimpit dalam kediaman yang terlalu sesak dan tanpa pengudaraan yang baik.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap syarikat-syarikat yang masih menempatkan pekerja asing mereka dalam keadaan daif dan tidak mematuhi piawaian buruh antarabangsa,” kata mereka.
Dan langkah terakhir, kata mereka, KKM harus mempertimbangkan untuk menerbitkan data harian kematian kes COVID-19 sebagai cara memaklumkan masyarakat tentang bahaya varian baharu virus, bagi menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi supaya mengambil suntikan dos penggalak mereka.
“Lonjakan terbaharu kes-kes COVID-19 ini diharap hanya bersifat sementara namun berdasarkan pengalaman berhadapan dengan pandemik lalu, kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi bersama-sama melindungi semua masyarakat yang tinggal di negara kita,” kata mereka lagi.