COVID-19: Kerjasama EU, ASEAN, WHO tingkat kesediaan bendung pandemik - Dr Adham
Astro Awani
Jun 22, 2021 23:28 MYT
Jun 22, 2021 23:28 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempromosikan multilateralisme serta perkongsian nilai dalam isu COVID-19 serta kesihatan awam semasa dan masa depan amat dialu-alukan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, krisis itu menggariskan kepentingan perpaduan global, antarabangsa dan kerjasama untuk menyelaraskan kemajuan serta pelaksanaan masa depan
kerjasama berkenaan.
"Idea bijak akan melahirkan inovasi yang menyokong pertumbuhan dan kemajuan sesebuah negara.
"Kementerian Kesihatan Malaysia dengan senang hati bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan yang bertujuan untuk memperkukuhkan kesediaan sistem kecemasan serta kesihatan secara keseluruhan fokus khusus kepada pengurusan dan tindak balas COVID-19.
"Pada akhirnya, kita semua berperang melawan musuh yang sama dan dengan solidariti serta kebaikan
kerjasama serantau, kita akan memenangi pertempuran ini," katanya semasa ucaptama pelancaran secara maya Program EU-ASEAN menyokong usaha bertindak dalam isu COVID-19 di Malaysia.
Turut hadir, Duta Besar Kesatuan Eropah di Malaysia, Michalis Rokas dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline.
Dalam pada itu Dr Adham berterima kasih kepada EU-ASEAN yang menyumbang dalam projek berkenaan.
Ujarnya, ia akan memberi manfaat kepada hasil kerja KKM dengan rakan kongsi kementerian serta badan bukan kerajaan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menggariskan empat fasa melibatkan Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat.
Setiap fasa Pelan Pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun 'threshold' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Muhyiddin turut yakin sasaran negara untuk mencapai tahap imuniti kelompok seperti diunjurkan Pelan Pemulihan Negara, dapat disempurnakan susulan penambahan bekalan vaksin COVID-19 oleh pembekal utama negara.
Beliau berkata ke arah inisiatif ini, kerajaan akan berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan bekalan berkenaan tiba ke negara ini mengikut jadual.