COVID-19: Kerajaan tutup semua sekolah kerana terdapat peningkatan kes - Kementerian

Firdaus Azil
November 10, 2020 11:52 MYT
Data KPM menunjukkan, kehadiran murid ke sekolah akan terjejas apabila terdapat kes positif di sesuatu kawasan walaupun ia terletak di negeri-negeri yang tidak mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi.
KUALA LUMPUR: Penutupan sekolah di negeri yang tidak terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu Pahang, Kelantan dan Perlis, adalah berdasarkan analisis data terhadap peningkatan kes di negeri-negeri tersebut.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas analisis data terhadap kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan murid, guru serta warga sekolah, menunjukkan ia semakin meningkat semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19.
“Selain itu, data KPM menunjukkan, kehadiran murid ke sekolah akan terjejas apabila terdapat kes positif di sesuatu kawasan walaupun ia terletak di negeri-negeri yang secara keseluruhannya tidak mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi.
“Ketidakhadiran murid ini adalah disebabkan oleh kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka jika hadir ke sekolah,” menurut KPM dalam satu jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat pagi ini.
Terdahulu, Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) bertanya rasional penutupan sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan zon hijau COVID-19 .
Selain itu, beliau turut ingin mengetahui rasional penangguhan peperiksaan awam dan rancangan kerajaan dalam membantu pelajar yang tiada kemudahan internet dan komputer riba, terutamanya di kawasan pedalaman
KPM berkata, penutupan sekolah di empat negeri berkenaan melibatkan 1,087,803 murid, 99,491 guru dan 20,438 anggota kumpulan pelaksana.
"Ia dilihat satu jumlah yang signifikan dalam membantu KKM dan petugas barisan hadapan membendung penularan COVID-19," tambahnya.
Selain itu, kementerian berkata, pihaknya berpandangan usaha membendung penularan wabak ini amat penting dalam memastikan sesi persekolahan untuk tahun 2021 dapat dimulakan dalam keadaan selamat seperti dijadualkan.
“Ini juga penting bagi memastikan peperiksaan awam yang telah ditangguhkan ke bulan Februari 2021 dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat,” katanya lagi.
Mengenai persoalan bagaimana murid di luar bandar dapat meneruskan pembelajaran, terutamanya yang sukar mendapat akses internet, KPM berkata, pembelajaran untuk golongan berkenaan boleh dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan di saluran TV Okey dan Tutor TV Astro.
“Di samping itu, guru juga melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid, terutamanya bagi murid yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan kaunter pandu lalu di sekolah,” katanya lagi.
Tambahnya, KPM kini sedang di peringkat akhir merangka strategi pelaksanaan yang komprehensif dalam memperkasa pendidikan digital negara.
Ini, jelasnya lagi, termasuk mengambil kira keperluan pemilikan peranti oleh murid dan juga akses internet di sekolah di seluruh negara.
#sekolah #PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perintah kawalan pergerakan #penutupan sekolah #Dewan Rakyat #Kementerian Pendidikan #COVID-19 #pengajaran dan pembelajaran #pandemik #kes positif #pendidikan
;