COVID-19: Kerajaan seluruh dunia gagal tangani impak ketidakadilan global - Oxfam

Astro Awani
Januari 26, 2021 02:12 MYT
BUCHER: Kami memerlukan lebih daripada sedekad untuk berjuta-juta orang miskin di dunia untuk pulih daripada kesan ekonomi susulan pandemik COVID-19. - Astro AWANI
KERAJAAN di seluruh dunia didakwa gagal menangani impak ketidakadilan global yang berleluasa dan kian meningkat akibat pandemik COVID-19.
Pengarah Eksekutif Oxfam International, Gabriela Bucher berkata kaum wanita, golongan terpinggir dan kumpulan etnik menjadi golongan yang menanggung kesan daripada krisis ini sekali gus menjadikan mereka lebih cenderung dilanda kemiskinan dan dikecualikan daripada penjagaan kesihatan.
“Kanak-kanak melihat ibu bapa mereka mati, kerana penjagaan kesihatan merupakan hak istimewa bagi orang kaya.
“Jururawat yang inginkan keselamatan dan gaji yang lebih lumayan daripada tepukan gemuruh. Pandemik ini memberikan gambaran jelas bahawa kita perlu menghargai jururawat daripada jutawan,” beliau berkata demikian ketika berucap secara maya pada siding media ‘Tackling The Inequality Virus” di Davos Agenda Week 2021 pada Selasa.
Katanya, Laporan Oxfam 2020 mendedahkan isu ketidaksamaan ini akan memudaratkan warga dunia khususnya berjuta-juta orang miskin yang mungkin akan mengambil masa sedekad untuk pulih daripada kesan ekonomi susulan pandemik COVID-19
"Pertama, berlakunya ketidakadilan paling ketara ketika ini sejak isu kesihatan mula direkodkan.
“Kedua, ia akan mengambil masa lebih sedekad untuk berjuta-juta masyarakat dunia miskin di dunia untuk pulih daripada kesan ekonomi susulan pandemik COVID-19,” tambahnya.
Bucher juga mendesak kerajaan di seantero dunia untuk memastikan setiap rakyat mereka mendapat akses kepada vaksin COVID-19 dan sokongan kewangan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.
Bergerak ke hadapan, beliau berkata penggubalan dasar dalam dunia pasca-koronavirus perlu memberikan fokus untuk menghapuskan kemiskinan dan melindungi bumi daripada perubahan iklim yang ketara.
#COVID-19 #pandemik #ketidakadilan #Davos Agenda Week 2021 #Gabriela Bucher #oxfam international #Laporan Oxfam 2020