COVID-19: Kerajaan pertimbang wajibkan suntikan vaksin - PM
Nur Fazlizai Ali
Ogos 12, 2021 19:42 MYT
Ogos 12, 2021 19:42 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang Oktober ini.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu dijangka diputuskan pada bulan hadapan sejurus kajian menyeluruh selesai dilaksanakan.
Menurut Muhyiddin, kajian berkenaan termasuk ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin.
Jelasnya, sekiranya peruntukkan itu dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin COVID-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.
“Jadi bila nanti kita sudah analisa, kalau peratusan agak kecil sangat tidak membimbangkan… tapi kalau besar (peratusan) maka kita kena cari jalan sama ada nak gunakan sebagai mandatori dari bawah undang-undang sedia ada tindakan berdasarkan undang-undang.
“Saya cuma nak gambarkan itu akan diputuskan kerajaan dalam tempoh mungkin kalau tak bulan ni bulan hadapan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Taman Tamadun Islam (TTI), sempena lawatan kerjanya ke Terengganu pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzah Hashim.
Dalam lawatan itu, Muhyiddin berkata, sebanyak 590,000 lagi dos vaksin akan dihantar ke Terengganu bulan ini untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin di negeri berkenaan.
Mengulas mengenai suntikan vaksin kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diputuskan sebaik vaksinasi terhadap rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas selesai diadakan.
#wajibkan suntikan vaksin
#kerajaan
#suntikan vaksinasi
#COVID-19
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Hukuman
#undang-undang