COVID-19: Kerajaan perlu tubuh Majlis Keselamatan Makanan Negara
Astro Awani
April 4, 2020 11:56 MYT
April 4, 2020 11:56 MYT
Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Keselamatan Makanan Negara sebagai persiapan berdepan dengan krisis bekalan makanan ekoran penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Salahuddin berkata, negara memerlukan majlis yang khusus dalam menangani isu makanan kerana apa yang berlaku sekarang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Menurut bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, semua negara akan berdepan dengan krisis bekalan makanan ekoran wabak COVID-19 dan setiap negara akan menjaga kepentingan masing-masing.
"Malaysia masih lagi mengimport 30 peratus bekalan beras dan mengimport 70 peratus bekalan daging.
"Tetapi dengan lumpuhnya seluruh dunia, dari mana kita akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi?
"Vietnam, sebagai contoh, sudah menghentikan eksport beras ke Malaysia, jadi apa yang akan terjadi sekiranya wabak ini berterusan?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pulai itu yakin pakar-pakar dalam negara mampu menyusun strategi bagi mengatasi masalah ini.
Jumlah keseluruhan postif COVID-19 diseluruh dunia setakat ini mencecah lebih 1 juta kes dengan angka kematian telah mencecah lebih 54 ribu orang.
Sehingga kini, Malaysia mencatat jumlah keseluruhan positif COVID-19 sebanyak 3,333 kes dengan 53 kes kematian.
#Amanah
#bekalan
#COVID-19
#import
#Majlis Keselamatan Makanan Negara
#Majlis Keselamatan Negara
#makanan
#MKMN
#MKN
#Parti Amanah Negara
#Salahuddin Ayub