COVID-19: Kerajaan perlu kaji semula SOP negara memasuki fasa endemik - Lam Thye

Astro Awani
September 12, 2021 14:05 MYT
Jelas Lam Thye, orang ramai perlu memahami apakah peranan yang dapat dimainkan mereka apabila kerajaan mengumumkan dengan rasmi negara sudah memasuki fasa endemik kelak. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) apabila negara memasuki fasa endemik COVID-19 yang dijangka pada akhir Oktober nanti.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menjelaskan, SOP itu seharusnya relevan selain masyarakat memahami sepenuhnya mengapa negara memasuki fasa endemik berkenaan.
Katanya, paling penting sekarang untuk memikirkan keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian untuk menguruskan rutin harian.
"Saya berpendapat bahawa kita mesti bersiap sedia untuk memasuki fasa endemik memandangkan kita perlu hidup bersama COVID-19 kerana kalau hendak menang, saya tidak boleh jawab bila boleh menang.
"Paling penting adalah menguruskan kehidupan, apa yang perlu dibuat untuk memperkasakan masyarakat dan memahami secara mendalam mengapa kita masuk ke fasa endemik dan apakah SOP yang kita perlukan," katanya semasa sidang video pada Ahad.
BACA: Anggap COVID-19 sebagai endemik bukan mengalah - Khairy
BACA: Rakyat perlu diberi pendedahan, maklumat bagaimana hidup dalam endemik - Dr Farhan
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan menganggap COVID-19 sebagai satu endemik bukan tanda mengalah terhadap pandemik itu sebaliknya adalah bersifat untuk mengadaptasi diri.
Ujarnya, dengan adanya varian Delta, saintis seluruh di dunia mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak sukar disebabkan kemunculan varian baharu.
Dalama pada itu jelas Lam Thye, orang ramai perlu memahami apakah peranan yang dapat dimainkan mereka apabila kerajaan mengumumkan dengan rasmi negara sudah memasuki fasa endemik kelak.
Katanya, masih ada masyarakat yang ragu-ragu dengan persediaan yang dibuat untuk memasuki fasa endemik yang dijangka pada Oktober selepas negara mencapai imuniti kelompok iaitu selepas 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.
#COVID-19 #imuniti kelompok #pandemik #SOP #varian baharu
;