COVID-19: Kerajaan perlu hati-hati fahaman mengelirukan umat Islam
Astro Awani
April 15, 2020 07:32 MYT
April 15, 2020 07:32 MYT
Kerajaan perlu berhati-hati dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan menyebarkan fahaman yang boleh mengelirukan umat Islam.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, ada kemungkinan kumpulan tertentu yang cuba memisahkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang selama ini menjadi pegangan umat Islam di negara ini.
“Dalam situasi sekarang ini, adalah tidak mustahil akan ada agamawan tertentu bergerak untuk menghakis ajaran ASWJ dengan cuba 'mempromosikan' fahaman yang bertentangan dengan penganut agama Islam di Malaysia.
“Saya amat berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin akan terlebih dahulu mendapatkan pandangan serta nasihat ulama dan tokoh-tokoh ASWJ sebelum melantik mana-mana orang atau penjawat awam untuk memegang jawatan yang ada hubung kait dengan kepentingan syiar dan umat Islam.
“Kita tidak mahu ada pihak yang berselindung di sebalik ilmuan dan ketokohan agama yang menyelinap masuk dalam pentadbiran kerajaan dan secara halus cuba menyerapkan fahaman yang bertentangan pegangan ASWJ,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Rabu.
Tegasnya, COVID-19 adalah wabak agar umat Islam bermuhasabah dan tidak mengambil peluang melakukan gerakan untuk agenda lain, selain memperkasakan fahaman dan ajaran Islam sedia ada.
“Saya ingin tegaskan bahawa Jumhur Ulama' ASWJ Malaysia menggariskan panduan fahaman Tauhid mengikut Imam Abu Hassan alAsyari RA, Feqah mengikut mazhab Syaafi'eah RA yang berpegang pada kitab-kitab muktabar mazhab Syaafi'eah RA.
“Begitu juga ilmu Tasawuf mengikut imam alGhazali RA seperti rujukan dari kitab Ihya' Ulumuddin.
“Islam di Malaysia memegang kepada konsep maqasid syari'eah menjaga lima maqsud iaitu memelihara agama Islam, memelihara diri atau nyawa), menjaga akal atau otak, menjaga harta dan menjaga keturunan,” ujarnya.
Tambahnya, agama Islam yang disusun oleh alim ulama juga merujuk kepada empat asas sandaran ilmu Islam iaitu alQuran , alHadis, alIjma' dan alQias.
“Sehubungan itu, para ilmuan agama Islam dari tahap tertinggi seperti para mufti, para pendakwah khususnya serta umumnya tidak boleh mempertikaikan segala amalan yang dilakukan di negara ini (ASWJ) selagi ia tidak bercanggah pada empat sandaran tersebut.
“Sewaktu wabak COVID-19, rakyat diminta supaya duduk di rumah dan arahan sedemikian juga sebahagian dari Maqasid Syari'eah.
“Sesiapa yang mengikutinya akan mendapat pahala di sisi Allah S.W.T. bahkan dalam riwayat mengatakan sesiapa yang terpaksa duduk di rumah untuk menjaga dirinya dari terkena wabak bahkan dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T. walaupun ia tidak mati sekalipun kerana wabak tersebut,” katanya.
#Ahli Sunnah Wal Jamaah
#ASWJ
#COVID-19
#fahaman
#Islam
#kerajaan
#mengelirukan
#pendidikan
#rakyat
#rumah
#Syed Ali Al-Habshee