COVID-19: Kerajaan P. Pinang cadang 'travel bubble' mulakan pelancongan

Bernama
Mei 20, 2020 04:39 MYT
Keutamaan negeri ini adalah untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sebelum membuka sempadan pelancongannya kepada orang luar. - Gambar fail
Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan pendekatan travel bubble antara negeri-negeri yang diisytihar zon hijau untuk membantu pemulihan sektor pelancongan.
Konsep travel bubble juga dicadangkan di Australia dan New Zealand untuk memulakan semula perjalanan dan industri pelancongan sambil menyesuaikan dengan normal baharu.
Dalam kenyataan pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata konsep itu adalah langkah yang dikaji dalam usaha untuk merencanakannya sebaik sahaja kerajaan Persekutuan menarik semula larangan perjalanan rentas negeri.
"Memandangkan Pulau Pinang sedang mengamalkan Strategi Pemulihan Berperingkat, ini mungkin menjadi penyelesaian berdaya maju untuk memulakannya, berbanding membuka semua sempadan kami secara serentak dan membangkitkan risiko penularan semula," katanya.
Beliau berkata pendekatan secara beransur-ansur dan berperingkat akan membolehkan zon perjalanan selamat antara zon hijau dan membuka semula ekonomi untuk sektor pelancongan.
Sebaliknya, Yeoh berkata tahap awal konsep travel bubble hanya boleh dihadkan dalam kawasan tarikan pelancongan di Pulau Pinang sebelum berkembang ke negeri lain.
"Kami akan memulakan ekonomi pelancongan secara beransur-ansur, tetapi melalui pemantauan berterusan kemajuannya sebelum kami teruskan kerana ia adalah keutamaan negeri ini untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sebelum membuka sempadan pelancongannya kepada orang luar," katanya dan menambah pendekatan yang dicadangkan akan dibangkitkan semasa mesyuarat pasukan kerja pelancongan akan datang.
-- BERNAMA
#buka sempadan #buka semula ekonomi #COVID-19 #ekonomi #kerajaan #normal baharu #pelancongan #perjalanan #pulau pinang #Strategi Pemulihan Berperingkat #travel bubble #Yeoh Soon Hin #zon hijau
;