COVID-19: Kerajaan minta Jabatan Penjara bentang SOP baharu
Isabelle Leong
Oktober 7, 2020 18:28 MYT
Oktober 7, 2020 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta Jabatan Penjara untuk membentangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan kakitangan serta penghuni penjara dan pusat tahanan.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata SOP baharu tersebut termasuk SOP untuk membawa tahanan ke mahkamah untuk dituduh dan SOP pemindahan tahanan ke penjara lain.
“Mereka mesti menggari dan membawa mereka dengan kedudukan berdekatan. Ini SOP lama.
"Begitu juga di dalam penjara, kedudukan yang agak rapat dan begitu juga tahanan dipindahkan ke penjara lain.
"Semuanya menggunakan SOP yang lama. Jadi kerajaan hari ini berbincang supaya satu SOP yang baharu kerana kita anggap SOP lama menjadi salah satu punca menyebabkan berlakunya pertambahan kes positif di penjara. Kami harap ia dapat dikurangkan," katanya pada sidang media menerusi laman Facebook Live pada Rabu.
Katanya, pada Selasa sahaja, daripada 691 kes Positif COVID-19 yang direkodkan, 394 kes adalah dari Kedah yang mana melibatkan kes dalam penjara dan 7 lagi dari pusat tahanan perlindungan Taiping.
“Ini bermakna sejumlah 401 kes ini hanya melibatkan dalam penjara yang tidak mempunyai hubungan dengan masyarakat luar.
“Selain itu, 219 kes adalah daripada zon merah di Sabah yang mana kawasan ini telahpun dikawal oleh pihak berkuasa dan saringan sedang dilaksanakan.
“Selebihnya hanya 71 kes melibatkan penularan dalam komuniti,” katanya.